Thursday, August 28, 2008

Endau Rompin yang kukenali....

Alangkah girangnya hati bila suami maklumkan akan bawa bercuti ke Endau-Rompin sempena cuti sekolah bersama beberapa rakan sekolahnya. Yang paling gembira tentulah anak-anak yang memang suka berjalan.

Pada 17hb Ogos 2008, Ahad, lebih kurang 8.30 pagi tiba dan berkumpul di sekolah suami. Lebih kurang 9.00 pagi bertolak ke Endau melalui lebuh raya Seremban – Melaka. Kami bergerak secara konvoi, lima buah kereta membawa keluarga masing-masing, Ustazah Faridah, Cikgu Azmi, Cikgu Nizam, dan Cikgu Hamimah. Kelakarnya masing-masing kereta ditanda dengan reben merah di aerial (dawai gelombang radio). Perjalanan agak menarik memandangkan kami melalui tiga buah negeri...Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Muadzam Shah (Pahang) dan Rompin (Johor)...Sepanjang perjalanan terdapat gerai jualan buah-buahan, almaklumlah sekarang musim buah...saya terpandang buah rambai..alahai sedapnya..tapi nak berhenti pun nanti bimbang melambatkan...semasa berhenti untuk membeli jagung, kebetulan pulak kawasan tu dah tiada lagi gerai jualan buah-buahan...tak mengapalah bukan rezeki saya lagi...Kami tiba hampir 4.oo petang, almaklumlah Ketua Rombongan, Cikgu Azmi pun kurang arif tempat tersebut, dua tiga kali jugalah pusing-pusing balik dan tercari-cari jalan. Paling kelakar, bila saya tanya suami apa nama resort, dia pun tidak tahu, saya sarankan tanyalah pada Cikgu Azmi, katanya tak mengapalah serahlah kepada Cikgu Azmi....

Tiba di Kuala Rompin, hati kami riang, apatah lagi melihat air laut yang jernih membiru tenang di samping chalet-chalet yang indah di tepi jalan. Saya meneka-neka mana satukah chalet kami. Namun, sangkaan saya meleset. Rupanya kami terpaksa masuk ke dalam lagi, hampir 5km, chalet yang paling hujung, jalannya alahai, macam denai..tidak berturap..kiri kanan hutan.



Setibanya kami di Coconut Beach Resort, sebaik sahaja kaki melangkah keluar (hati kurang girang dengan chalet-chalet yang agak kusam dan reka bentuk yang kurang menarik), kami terpandang 2 ekor anjing dirantai lehernya di sebuah kandang yang ada teduh. Terfikir saya, mungkin bertujuan untuk menjaga kawasan daripada binatang buas. Kami bergerak ke tempat pendaftaran, tiba-tiba kami dikejutkan dengan salakan anjing...rupanya ada lagi seekor ditambat di bawah tempat yang kami tuju, tersentak juga kami almaklumlah, tidak sangka ada anjing di situ, dah la anak-anak kami bebas berjalan waktu tu.
Sementara kami menunggu Cikgu Azmi mendaftar dan dapatkan kunci, antara kami ada yang meronda-ronda ke kawasan pantai..jarak antara chalet dan pantai hanya kira-kira 500 meter..memang agak mendamaikan dengan angin sepoi-sepoi bahasa, manakala saya sekeluarga hanya duduk di sekitar tempat pendaftaran, seolah-olah kafe tetapi nampak seakan tidak terurus dan terbiar...sebaik sahaja dapat kunci, kami melangkah untuk ke bilik..tiba-tiba saya dikejutkan lagi dengan suara...`ular... ular ’..alamak..kebetulan anak sulung, Hazim entah kenapa, turun berjalan berhampiran dengan anjing yang berdekatan, mungkin untuk melihat dengan lebih dekat, ular pucuk berwarna hijau tua melingkar di atas tunggul kayu kira-kira dua tiga depa dari Hazim...Saya apa lagi sekuat hati menjerit...`Hazim, lari, naik sini, ular kat depan....’..nasib baik Hazim dengar dan terus naik ke tempat saya...Hampir di pintu bilik, saya menoleh ke belakang, kelihatan Pengurus Resort memukul ular tersebut..sungguh menyayat hati...kenapalah dibunuh haiwan yang tidak berdosa itu...Hati dah agak terbantut untuk bersuka ria....
Kami dapat bilik B1, bilik bawah. Mula-mula buka pintu dan melangkah masuk..memang mendukacitakan. Dengan lantai yang melekit, hanya beralaskan tikar getah. Dua katil besar dengan cadar kain murah yang kusam, tanpa selimut, tanpa air-cond, tanpa cerek, tanpa tv, tanpa tuala, hanya 2 ketul kecil sabun May disediakan. Dengan bayaran Rm100 semalam, memang memilukan dan tiada yang istimewa. Namun apakan daya kami tiada pilihan dan ia di luar jangkaan kami. Kami juga difahamkan elektrik hanya disediakan waktu malam memandangkan tempat tersebut menggunakan generator.




Selepas solat jamak Zuhur dan Asar, suami mencadangkan keluar ke Kuala Rompin untuk minum petang makan keropok lekor. Dalam perjalanan suami sempat beritahu bahawa rakan-rakan memaklumkan Pengurus Resort pesan agar berhati-hati kerana di kawasan tersebut banyak terdapat babi hutan. Dalam hati saya, tempat ini memang tidak sesuai untuk bercuti bersama keluarga, untuk camping dan kem motivasi mungkin sesuai. Tiba di Kuala Rompin, Hazim tertarik dengan replika kapal besar yang dijadikan kediaman, siap naik dan bergambar lagi...seterusnya kami minum di warung yang menjual pelbagai jenis juadah goreng, goreng pisang, goreng keropok lekor, ketam goreng dan macam-macam lagi. Kami hanya memesan pisang dan keropok lekor goreng. Air minuman biasa serta terasa hendak makan nasi sebab waktu tu hampir senja, kami makan nasi putih yang teramat sejuk bersama lauk yang tidak banyak pilihan. Suami agak terperanjat bila dikenakan harga RM26.00....dengan makanan yang tidak begitu berkualiti dari segi rasanya...memang ia mendukacitakan. Dalam perjalanan balik, waktu tu remang senja, kami dapat melihat sendiri 2 ekor babi hutan yang melintas jalan...tersentak juga saya dibuatnya..itulah pertama kali dalam hidup melihat babi hutan. Memang benarlah seperti yang diberi pesanan.
Malamnya, kami dimaklumkan barbique ikan terpaksa ditunda ke malam esoknya untuk sama-sama menunggu 2 buah keluarga lagi datang. Tanpa aktiviti, tanpa tv, kami hanya terperap di bilik, tambahan lagi mengingatkan babi hutan yang mungkin berkeliaran mematahkah lagi semangat untuk kami keluar dari bilik. Suami sempat menghabiskan tugasan marking paper pelajar, manakala saya seperti biasa melayan kerenah anak-anak. Tengah malam, sewaktu terjaga untuk membancuh susu anak, saya terpandang ulat gonggok di dinding berhampiran katil...alahai berdegup jugak jantung saya....
Pagi esoknya,18hb Ogos, Cikgu Azmi mencadangkan kami bersarapan di luar kawasan tersebut. Rupanya mereka juga terkena dengan harga yang mahal di warung Kuala Rompin semalam, selain menerima layanan yang kurang sopan mereka dihidangkan dengan air teh laici yang tiada dalam pesanan..pecah perut kami mendengar jenis air tersebut....Bagaimanalah rupanya...apatah lagi rasanya...Hampir 17km, barulah kami temui warung yang agak selesa untuk memuatkan kami 5 buah keluarga. Kebanyakan kami bersarapan nasi dagang yang dibungkus dengan daun pisang, seolah tapai. Rasanya..boleh tahan, seperti nasi dagang Terengganu, warna putih...selepas bersarapan kami meronda-ronda mencari surat khabar dan klinik swasta konon untuk beli ubat sumbat melalui bontot buat anak bongsu kami (setakat ini la...yang ke-4 coming soon), Haikal yang tidak kebah-kebah demamnya. Setelah dapat surat khabar, kami teruskan pencarian klinik. Puas mencari, kami bertanya, difahamkan ada sebuah klinik di Pekan Rompin..tetapi kami tidak temui, selain itu terdapat Klinik Kerajaan, kami buat keputusan untuk tidak ke Klinik Kerajaan kerana khuatir ramai pesakit dan terpaksa menunggu. Dalam hati kami, bagus la orang Rompin, jarang sakit agaknya, Klinik pun tiada. Tiba di resort, rakan-rakan ada yang bermain bola tampar bersama anak-anak, saya dan suami cuma bersantai di tepi pantai sambil menonton perlawanan dan suami membaca Sinar Harian, isu hangat pilihan raya Permatang Pauh dan isu liwat DSAI dan sumpah Saiful...

Untuk makan tengah hari, saya cadangkan suami beli dan bungkus sahaja memandangkan anak kecil demam dan tidur begitu juga anak kedua, Aimi pun lena tidur waktu tengah hari. Kebetulan rakan-rakan merancang untuk makan dan ronda di Mersing. Suami menyertai kunjungan ke Mersing dengan menumpang kereta Cikgu Azmi. Hazim tidak ketinggalan mengikut abahnya berjalan. Hampir pukul 5 petang, mereka masih belum kembali, masa tu dah berkeping roti saya makan, apa lagi saya terus mesej suami dan bertanya lambat lagikah. Suami memaklumkan baru berjumpa restoran dan baru pesan makanan. Oleh sebab memikirkan entah pukul berapa pulak mereka kembali, maka saya buat keputusan keluar cari makan. Sejauh lebih kurang 18km, berhampiran Pekan Rompin, saya terpandang gerai , nasib baik masakan Siam dan rasanya boleh tahan. Saya cuba bertanya mesin ATM terdekat dan Klinik Swasta. Rupanya klinik tu bersebelahan gerai tu saja, tapi labelnya pudar, patutlah waktu pagi semasa kami ronda tidak perasan kewujudannya....Mesin ATM Publik Bank pun berhampiran dengan warung makan semasa kami bersarapan pagi tadi.
Pada waktu petang, dua buah keluarga lagi tiba, Cikgu Ropi dan Cikgu baru yang masih bujang bersama ahli keluarganya. Sebelah petang, suami dan rakan-rakan sibuk menyiapkan ikan yang akan dibuat barbique pada malamnya. Selepas itu, suami bawa anak-anak mandi pantai. Suasana barbique malam tu dimeriahkan dengan anak-anak kami yang masih kecil termasuk anak Ustazah Faridah yang bongsu. Anak-anak orang lain semua dah besar. Saya tumpang makan dan tengok sahaja, almaklumlah anak kecil demam dan meragam ingin dukung sahaja. Pukul 12 malam lebih baru siap dibakar semua ikan, udang dan jagung, agak banyak dan tidak kehabisan.




Pagi esoknya, 19hb Ogos, kami sekeluarga keluar bersarapan di Kuala Rompin, makan nasi lemak. Sejurus selepas itu, ada permainan yang dinamakan telematch dikelolakan Pengurus Resort...Hazim beria nak menyertai..peserta terkecil...untuk fun dan enjoy sahaja..tanpa hadiah....memang seronok dan menghiburkan apatah lagi melihat keletah Hazim yang diam menurut perintah ahli pasukan...sehingga tahap membuka baju dan seluar ...untuk permainan pasukan yang paling panjang...lawak-lawak....Dalam hati saya..nasib baik ada permainan ni, terhibur la sikit hati dan menutup sedikit sebanyak cacat cela percutian kami kali ini....






Selepas permainan, kami menyambung dan panaskan kembali ikan-ikan semalam, makan dengan nasi yang tidak habis semalam, sayang nak buang. Selepas check-out, hampir 2 petang, selepas solat, kami bertolak balik. Dalam perjalanan, kereta Cikgu Ropi pancit...hampir setengah jam jugalah proses tukar tayar. Nak dijadikan cerita tayar simpananya tiada angin, nasib baik Ustazah Faridah pun kereta Toyota Unser juga, bolehlah pinjam. Singgah makan di gerai berhampiran stesen minyak, saya pun lupa nama tempatnya dan solat di Masjid berhampiran simpang ke Teratak Za’ba, pun lupa nama masjid tu. Tiba di rumah lebih kurang 11 malam...mak aii dalam hati..boleh tahan perjalanan hampir 9 jam..bagaikan balik kampung ni (Kelantan)...
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian pengalaman..tahun depan suami mencadangkan kepada Cikgu Azmi agar dibuat rombongan ke Taman Negara...harapan saya agar percutian seterusnya biarlah memuaskan dan menggembirakan serta bersesuaian dengan keluarga.....Apa pun tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan olehNya, tetap memikirkan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang berlaku...Alhamdulillah. ameen.

5 comments:

alamaya said...

assalamualaiku...
kalau tak salah tempat ini namanya PENYABONG kan haaa...seronok kat sini airnya jernih dan ombak tak kuat...sesuai bawa keluarga berkelah...cuma tak banyak kemudahannya....

Anonymous said...

seronok dengar percutian awak tu.yang saya tergelak tengok baby yang tinggal pampers tu.mesti best.kalau kami panggil kasih berantai.memang seronok.semoga rezeki awak dipermudahkan.

Bibi said...

Alamaya: pada saya, kurang sesuai mungkin disebabkan chalet yg disewa, agak jauh ke dalam, bukannya privasi lagi dah..menakutkan lagi ada..kalau anak2 dah besar ok la kut
Anonymous: Anak saya (hazim) mmg sporting dan suka kalau bab main2 pertandingan ni..hati besar tapi badannya kecik

Anonymous said...

Teringat memori 9tahun dahulu...time tu belum berkhawin lagi so tak sewa chalet,cuma dtg dgn kawan2 reramai untuk mandi manda dan release tention dgn keindahan pantai yg landai membiru mengadap pulau besar..di sana lah suami saya meluah rasa cinta dn hasrat melamar saya...skrg ni ingin juga bw anak2 ke sini kerana kenangan terindah tu...

geniusguy said...

Kalau 18 km dr Penyabong bukan Kuala Rompin tapi Pekan Endau yg ada Pub Bank tu..Kuala Rompin atas lagi lebih kurang 21 km drpd Pekan Endau..skrg Pekan Endau sdg menyiapkan restoran ikan bakar terapung mengunjur ke Sg Endau...dah siap tak tau bila beroperasi..kalau dtg Penyabong jgn dtg musim tengkujuh..dtg bulan 2 ke..pantai cantik...