Thursday, April 10, 2008

Bukan Sekadar Simpati (3)

Alhamdulillah petang tadi berkesempatan menziarah sahabat (Shuk) di PPUM. Kebetulan juga ayah dan kakaknya ada bersama. Sebuah televisyen kecil menemani di sebelah katil.

Terharu dan bersimpati,namun empunya diri lebih terseksa jiwa dan raganya hanya Allah yang mengetahui. Mendengar dirinya bercerita serta menunjukkan gambar melalui telefon bimbit keputusan x-ray kedudukan sendi palsu yang terkeluar sebelum pembedahan ketiga, bukan sahaja mengerikan malah hati tidak putus berdoa agar Allah ampunkan dosa-dosaku serta dijauhkan dari ujian sebegini hebat.
Allah Maha Berkuasa, pada petang Jumaat lepas (tak silap saya), beliau terlintas untuk memaklumkan kepada Pegawai Perubatan (doktor) yang bertanggungjawab merawatnya agar melihat sendiri bagaimana seksanya beliau berjalan. Selepas menyaksikan sendiri kepayahan dan kesakitan beliau, doktor tersebut membuat keputusan mengadakan x-ray, masyaAllah, ternyata ada kesilapan berlaku, doktor tersebut memohon maaf dan memaklumkan akan mengadakan pembetulan pada sendi palsu tersebut. Beliau sempat memohon agar dibuat pembetulan tanpa sebarang pembedahan, doktor hanya mengatakan akan cuba buat yang terbaik. Maka pada 7 April 2008, beliau dimasukkan ke dewan pembedahan pada pukul 2.30 petang dan dibawa keluar pada pukul 6.30 petang. Pagi esoknya beliau terasa nyilu di tempat pembedahan yang sama, memang sahlah dibedah lagi apabila doktor yang merawat datang melawat pagi itu memaklumkan beliau perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu bagi memulihkan luka dan kedudukan sendi palsu tersebut. Apakan daya, beliau terpaksa menerimanya kerana hanya itulah yang termampu.

Antibiotik seperti biasa, masih lagi dimasukkan 4 botol sehari. Ditambah dengan suntikan sebanyak dua kali (tak silap saya), pagi dan malam, bagi melancarkan perjalanan darah oleh sebab tiada pergerakan kaki kanan, yang kini digantungkan batu bagi menghalang sendi palsu berubah kedudukan. Tidak lagi muntah setiap hari selepas menukar jenis ubat tahan sakit.


Kesayuan dan keseksaan ini diharap bertukar menjadi kesejahteraan dan kesyukuran dalam masa yang terdekat ini, InsyaAllah.


Kakinya terpaksa digantungkan batu bagi mengelakkan berlaku lagi perubahan kedudukan sendi palsu.

Harapan seorang ayah....mengharap dan mendoakan kesihatan anaknya tanpa rasa jemu...(ibunya telah meninggal dunia)

Semoga Allah s.w.t sentiasa memelihara imannya, memberinya sifat redha dalam menghadapi ujian ini. Juga sentiasa dilimpahi rahmat dan dimurahkan rezeki. Ameen.




Monday, April 7, 2008

Bukan Sekadar Simpati (2)

Semalam, terima 'sms' daripada sahabat yang terlantar di PPUM bahawa beliau akan dibedah lagi untuk kali ketiga. Sedih bercampur 'gembira', sedih sebab memikirkan seksanya dia melalui keadaan begini dan gembira sebab akhirnya doktor dapat mengesan punca kenapa dia tidak dapat atau sakit untuk berjalan selepas pembedahan kedua. Ini 'sms' beliau..begitu syahdu :

"A'kum.Doakan kesejahteraan & keselamatan saya. Pagi ini doktor akan betulkan sendi saya. Patutlah saya sukar & terasa sakit bila mahu berjln. Rupa2nya pd pembedahan ke2 berlaku sedikit kesilapan.Menyebabkan sendi palsu saya terkeluar.Harap kali ini semuanya selamat.Doakan saya yea.Terima kasih."

Di bawah ni gambar beliau beberapa hari selepas pembedahan kedua.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.






Semoga Allah sentiasa memberi rahmat buatnya serta dipermudah segala urusan dan dipercepatkan sembuh seperti sediakala dan dimurahkan rezeki.Ameen.

Saturday, April 5, 2008

Meditasi Ketika Melahirkan Anak

Hari ni, saya tertarik dengan satu artikel dari blog kuasajiwa. Amat bermakna bagi seorang ibu seperti saya yang telah mengalami saat mahupun getir melahirkan anak. Anak pertama dan kedua secara normal, manakala anak ketiga secara pembedahan. Masing-masing punya kisah tersendiri. Sekarang, ingin sekali merasa nikmat mempunyai anak kembar. Ikutilah kisah yang saya 'copy' dari blog kuasajiwa, moga bermanfaat buat semua....
-------------------------
Kuasa Allah, saya dan isteri mendapat khabar gembira ketika membuat medical check-up di salah sebuah klinik. Imbasan yang dilakukan seperti tidak percaya ada dua degupan jantung. Ketika itu isteri saya hamil 3 bulan. Semacam tidak percaya kami dikurniakan anak kembar. Dalam hati ini tidak henti-henti berkata “Terima kasih Ya Allah”
Dalam meniti saat-saat kelahiran pastinya saya akan berkongsi khabar gembira ini dengan saudara mara dan teman terdekat.Pertamanya mereka terkejut kerana belum ada dalam sejarah keluarga saya yang melahirkan anak kembar.Keduanya ada juga terdengar dari mulut mereka akan pengalaman yang mereka dengar tentang proses kelahiran kembar. Kebanyakannya melahirkan melalui pembedahan. Tentunya dalam hati ini mahu mengelaknya. Sepanjang masa saya berdoa agar isteri dan kandungan anak sentiasa dalam keadaan sihat dan dipermudahkan bersalin.
Sepatutnya due kelahiran yang diberitahu pada 22 Dis 2007 namun saya memberitahu isteri agar bersedia awal kerana dalam hati kecil saya berkata antara 3 hingga 7 Dis 2007. Kebetulan pada 3 Dis 2007 isteri membuat check up dan sekali lagi hati kecil ini berkata inilah check up terakhir. Memang sahih. Isteri ditahan wad. Dalam kelam kabut tidak membawa apa-apa ketika itu, saya tetap tenang. Selepas selesai urusan, saya kembali ke pejabat.
Keesokan pagi isteri menelefon saya bahawa beliau sudah dibawa ke bilik bersalin. Sempat juga saya bergurau dengan isteri dengan berkata kali ini dia akan melahirkan waktu Zuhur. Dalam menunggu saat yang dinantikan, saya habiskan masa dengan berdoa dan bermeditasi. Saya pinta isteri juga berbuat begitu. Ditambah dengan pesan saya agar memanjangkan sujud di minggu-minggu terakhir waktu kehamilan dengan keyakinan dapat menstabilkan kedudukan kandungan.
Tepat pukul 1.14 petang isteri selamat melahirkan kembar pertama dan disusuli kembar kedua pada 1.23 petang dengan kelahiran secara normal. Alhamdulillah, Allah makbulkan permohonan kami. Semuanya dalam keadaan selamat. Pengalaman berharga mendapat anak kembar lebih bahagia dirasai apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah dekat dengan kita.
Firman Allah, “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (Al-Baqarah: 186)
--------------------------------
Dapat saya bayangkan betapa indah dan nikmatnya mendapat anak kembar...ooppps kuota ada lagi kerrr?

Thursday, April 3, 2008

Bukan Sekadar Simpati

Hari ni rasa terpanggil untuk menulis entri pasal sahabat yang bekerja setempat. Disahkan sakit sendi sejak tahun 2004 dan kini terlantar di hospital selepas pembedahan kali kedua yang asalnya bertujuan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi). Orangnya muda lagi (30+) dan masih bujang. Ibunya sudah meninggal dunia dan kini tinggal bersama ayah yang agak uzur serta dua orang adik di Taman Dato' Harun, PJ.

Pada 12 Ogos 2004, beliau disahkan sakit sendi (Rheumatical Arthritis) oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kejadian ini berpunca daripada penyertaan beliau dalam acara pemilihan pemain bola sepak untuk mewakili organisasi yang diadakan pada tahun 2001. Pada mulanya beliau dirujuk ke Unit Ortopedik untuk tempoh dua tahun namun oleh kerana rawatan yang diterima tidak memberi sebarang perubahan, maka pada tahun ketiga beliau disarankan oleh Pegawai Perubatan berpindah ke Unit Reumatikalogi. Sejak disahkan sakit sendi, beliau perlu membuat rawatan sebanyak sekali sebulan, seterusnya pada pertengahan tahun 2006, beliau terpaksa berulang-alik ke klinik setiap hari untuk mencuci kaki yang luka akibat daripada masalah sendi ini.

Terkini, beliau terpaksa menjalani pembedahan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi) pada 4 Februari 2008 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Syukur kerana pihak majikan bermurah hati menanggung kos pembedahan pertama sebanyak RM11,000.00. Walau bagaimanapun, tanpa diduga, pada 25 Februari 2008, beliau terpaksa dimasukkan kembali ke wad akibat jangkitan kuman serta menjalani pembedahan kali kedua pada 29 Februari 2008. Difahamkan bahawa pembedahan kali kedua ini hanya untuk mencuci luka. Walau bagaimanapun selepas pembedahan kedua keadaan kesihatan beliau semakin teruk. Sehingga tarikh entri ini ditulis, beliau masih lagi terlantar di hospital. Rawatan fisioterapi setiap hari untuk latihan berjalan tidak membantu untuk beliau berupaya berjalan, malah amat sakit dan menyeksakan. Kaki kirinya juga sudah tidak kuat untuk menampung kaki kanan yang sakit. Beliau diberikan suntikan antibiotik sebanyak 3-4 botol sehari sejak pembedahan kali kedua. Antibiotik ini dimasukkan melalui jarum yang diletakkan di bahu yang mampu bertahan selama enam (6) minggu. Selain itu juga beliau mengalami muntah dan kurang selera makan serta lemah badan.

Keadaan lebih menyedihkan apabila beliau menerima surat daripada majikan yang menyatakan penahanan gaji sementara pada 13 Mac 2008. Ternyata, sehingga tarikh entri ini ditulis beliau masih belum menerima gaji untuk bulan Mac 2008 walaupun rayuan telah dibuat pada 21 Mac 2008. Penahanan gaji sementara itu dibuat berdasarkan perjanjian perkhidmatan kontrak yang mana cuti sakit telah melebihi kelayakan, iaitu 15 hari. Apapun tidak boleh disalahkan pihak majikan, kerana sebagai badan kerajaan sudah tentu terikat dengan beberapa prosedur.

Kini beliau merasa amat terbeban dengan keadaan kesihatan ditambah dengan masalah kewangan yang melanda. Usahkan beliau yang terlantar sakit, kita yang sihat ini pun pening jika dilanda masalah kewangan.

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan dan menyembuhkan beliau dalam masa terdekat.Kesabaran yang diperlukan semasa menghadapi kesakitan bukan sedikit. Moga Allah sentiasa titipkan rasa sabar dan redha dalam hatinya. Untuk ingatan diri saya juga, mudah-mudahan talian ini membantu insan yang prihatin untuk memberi sebarang bentuk sokongan, baik moral mahupun kewangan: Mohd Shukri Jaffar- 012-9264925, disertakan juga nombor akaun BSN 10101-29-8102-4539-0 dan BIMB 14023020211393. Hanya Allah jua Yang Maha Berkuasa, Yang berupaya menyembuhkan.Bukan sekadar simpati..tetapi menginsafi diri...