Thursday, April 3, 2008

Bukan Sekadar Simpati

Hari ni rasa terpanggil untuk menulis entri pasal sahabat yang bekerja setempat. Disahkan sakit sendi sejak tahun 2004 dan kini terlantar di hospital selepas pembedahan kali kedua yang asalnya bertujuan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi). Orangnya muda lagi (30+) dan masih bujang. Ibunya sudah meninggal dunia dan kini tinggal bersama ayah yang agak uzur serta dua orang adik di Taman Dato' Harun, PJ.

Pada 12 Ogos 2004, beliau disahkan sakit sendi (Rheumatical Arthritis) oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kejadian ini berpunca daripada penyertaan beliau dalam acara pemilihan pemain bola sepak untuk mewakili organisasi yang diadakan pada tahun 2001. Pada mulanya beliau dirujuk ke Unit Ortopedik untuk tempoh dua tahun namun oleh kerana rawatan yang diterima tidak memberi sebarang perubahan, maka pada tahun ketiga beliau disarankan oleh Pegawai Perubatan berpindah ke Unit Reumatikalogi. Sejak disahkan sakit sendi, beliau perlu membuat rawatan sebanyak sekali sebulan, seterusnya pada pertengahan tahun 2006, beliau terpaksa berulang-alik ke klinik setiap hari untuk mencuci kaki yang luka akibat daripada masalah sendi ini.

Terkini, beliau terpaksa menjalani pembedahan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi) pada 4 Februari 2008 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Syukur kerana pihak majikan bermurah hati menanggung kos pembedahan pertama sebanyak RM11,000.00. Walau bagaimanapun, tanpa diduga, pada 25 Februari 2008, beliau terpaksa dimasukkan kembali ke wad akibat jangkitan kuman serta menjalani pembedahan kali kedua pada 29 Februari 2008. Difahamkan bahawa pembedahan kali kedua ini hanya untuk mencuci luka. Walau bagaimanapun selepas pembedahan kedua keadaan kesihatan beliau semakin teruk. Sehingga tarikh entri ini ditulis, beliau masih lagi terlantar di hospital. Rawatan fisioterapi setiap hari untuk latihan berjalan tidak membantu untuk beliau berupaya berjalan, malah amat sakit dan menyeksakan. Kaki kirinya juga sudah tidak kuat untuk menampung kaki kanan yang sakit. Beliau diberikan suntikan antibiotik sebanyak 3-4 botol sehari sejak pembedahan kali kedua. Antibiotik ini dimasukkan melalui jarum yang diletakkan di bahu yang mampu bertahan selama enam (6) minggu. Selain itu juga beliau mengalami muntah dan kurang selera makan serta lemah badan.

Keadaan lebih menyedihkan apabila beliau menerima surat daripada majikan yang menyatakan penahanan gaji sementara pada 13 Mac 2008. Ternyata, sehingga tarikh entri ini ditulis beliau masih belum menerima gaji untuk bulan Mac 2008 walaupun rayuan telah dibuat pada 21 Mac 2008. Penahanan gaji sementara itu dibuat berdasarkan perjanjian perkhidmatan kontrak yang mana cuti sakit telah melebihi kelayakan, iaitu 15 hari. Apapun tidak boleh disalahkan pihak majikan, kerana sebagai badan kerajaan sudah tentu terikat dengan beberapa prosedur.

Kini beliau merasa amat terbeban dengan keadaan kesihatan ditambah dengan masalah kewangan yang melanda. Usahkan beliau yang terlantar sakit, kita yang sihat ini pun pening jika dilanda masalah kewangan.

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan dan menyembuhkan beliau dalam masa terdekat.Kesabaran yang diperlukan semasa menghadapi kesakitan bukan sedikit. Moga Allah sentiasa titipkan rasa sabar dan redha dalam hatinya. Untuk ingatan diri saya juga, mudah-mudahan talian ini membantu insan yang prihatin untuk memberi sebarang bentuk sokongan, baik moral mahupun kewangan: Mohd Shukri Jaffar- 012-9264925, disertakan juga nombor akaun BSN 10101-29-8102-4539-0 dan BIMB 14023020211393. Hanya Allah jua Yang Maha Berkuasa, Yang berupaya menyembuhkan.Bukan sekadar simpati..tetapi menginsafi diri...

4 comments:

Dr Nurul Yaqeen said...

salam ziarah.nice blog u have here
;)

Bibi said...

terima kasih dr. sekarang saya terfikir untuk bantu sahabat ini melalui sokongan moral, buku apa agaknya yang sesuai dibaca oleh pesakit.Kalau sekadar motivasi dikhuatiri dah jemu, kalaulah ada buku yang mengisahkan kisah benar kejayaan melawan kesakitan melalui berfikiran positif..alangkah baiknya...

Unknown said...

Mudah-mudahan beliau kuat menghadapi dugaan hidup ini. Insyallah kata-kata semangat dari orang terdekat boleh menguatkan semangat beliau. Tabahlah dan kuatlah....

Bibi said...

InsyaAllah dengan izinNya mudah-mudahan beliau kembali diberi 'kesihatan'.Allah Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.Subhanallah.