Saturday, September 13, 2008

Bukan Sekadar Simpati (4)

Alhamdulillah, berkat bulan yang mulia ini, ada perkhabaran baik buat Shuk.
Petang Jumaat, dapat berita bahawa kontrak kerja Shuk disambung bagi tempoh setahun, berkatkuasa Isnin 15.9.2008 . Sebenarnya sebelum tu dah tahu, sebab kebetulan semasa masuk bilik bos, terpandang surat sambung kontrak tu, tapi diamkan saja almaklum nanti dianggap busy body pulak.
Syukur.Syukur ke hadratNya. Atas izin dan rahmatNya jua kontrak shuk disambung.
Penantian shuk selama hampir 7 bulan akhirnya terjawab.Seksa yang ditanggung dengan tiga kali pembedahan dan 7 bulan tanpa pendapatan hanya Allah yang mengetahui.Peritnya merayu dan berusaha hanya beliau yang merasai.
Semoga selepas ini shuk lebih tabah dan berfikiran terbuka untuk menceburi bidang perniagaan pula. Belajar untuk tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji. Sebenarnya perniagaan bidang yang lebih membuka peluang untuk cepat berjaya dan maju tanpa perlu bergantung ihsan dan menghadapi karenah birokrasi. Lagipun Allah telah menjanjikan 9/10 daripada rezeki datangnya daripada perniagaan.
Selamat kembali bertugas buat shuk. Tahniah.

Thursday, August 28, 2008

Endau Rompin yang kukenali....

Alangkah girangnya hati bila suami maklumkan akan bawa bercuti ke Endau-Rompin sempena cuti sekolah bersama beberapa rakan sekolahnya. Yang paling gembira tentulah anak-anak yang memang suka berjalan.

Pada 17hb Ogos 2008, Ahad, lebih kurang 8.30 pagi tiba dan berkumpul di sekolah suami. Lebih kurang 9.00 pagi bertolak ke Endau melalui lebuh raya Seremban – Melaka. Kami bergerak secara konvoi, lima buah kereta membawa keluarga masing-masing, Ustazah Faridah, Cikgu Azmi, Cikgu Nizam, dan Cikgu Hamimah. Kelakarnya masing-masing kereta ditanda dengan reben merah di aerial (dawai gelombang radio). Perjalanan agak menarik memandangkan kami melalui tiga buah negeri...Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Muadzam Shah (Pahang) dan Rompin (Johor)...Sepanjang perjalanan terdapat gerai jualan buah-buahan, almaklumlah sekarang musim buah...saya terpandang buah rambai..alahai sedapnya..tapi nak berhenti pun nanti bimbang melambatkan...semasa berhenti untuk membeli jagung, kebetulan pulak kawasan tu dah tiada lagi gerai jualan buah-buahan...tak mengapalah bukan rezeki saya lagi...Kami tiba hampir 4.oo petang, almaklumlah Ketua Rombongan, Cikgu Azmi pun kurang arif tempat tersebut, dua tiga kali jugalah pusing-pusing balik dan tercari-cari jalan. Paling kelakar, bila saya tanya suami apa nama resort, dia pun tidak tahu, saya sarankan tanyalah pada Cikgu Azmi, katanya tak mengapalah serahlah kepada Cikgu Azmi....

Tiba di Kuala Rompin, hati kami riang, apatah lagi melihat air laut yang jernih membiru tenang di samping chalet-chalet yang indah di tepi jalan. Saya meneka-neka mana satukah chalet kami. Namun, sangkaan saya meleset. Rupanya kami terpaksa masuk ke dalam lagi, hampir 5km, chalet yang paling hujung, jalannya alahai, macam denai..tidak berturap..kiri kanan hutan.



Setibanya kami di Coconut Beach Resort, sebaik sahaja kaki melangkah keluar (hati kurang girang dengan chalet-chalet yang agak kusam dan reka bentuk yang kurang menarik), kami terpandang 2 ekor anjing dirantai lehernya di sebuah kandang yang ada teduh. Terfikir saya, mungkin bertujuan untuk menjaga kawasan daripada binatang buas. Kami bergerak ke tempat pendaftaran, tiba-tiba kami dikejutkan dengan salakan anjing...rupanya ada lagi seekor ditambat di bawah tempat yang kami tuju, tersentak juga kami almaklumlah, tidak sangka ada anjing di situ, dah la anak-anak kami bebas berjalan waktu tu.
Sementara kami menunggu Cikgu Azmi mendaftar dan dapatkan kunci, antara kami ada yang meronda-ronda ke kawasan pantai..jarak antara chalet dan pantai hanya kira-kira 500 meter..memang agak mendamaikan dengan angin sepoi-sepoi bahasa, manakala saya sekeluarga hanya duduk di sekitar tempat pendaftaran, seolah-olah kafe tetapi nampak seakan tidak terurus dan terbiar...sebaik sahaja dapat kunci, kami melangkah untuk ke bilik..tiba-tiba saya dikejutkan lagi dengan suara...`ular... ular ’..alamak..kebetulan anak sulung, Hazim entah kenapa, turun berjalan berhampiran dengan anjing yang berdekatan, mungkin untuk melihat dengan lebih dekat, ular pucuk berwarna hijau tua melingkar di atas tunggul kayu kira-kira dua tiga depa dari Hazim...Saya apa lagi sekuat hati menjerit...`Hazim, lari, naik sini, ular kat depan....’..nasib baik Hazim dengar dan terus naik ke tempat saya...Hampir di pintu bilik, saya menoleh ke belakang, kelihatan Pengurus Resort memukul ular tersebut..sungguh menyayat hati...kenapalah dibunuh haiwan yang tidak berdosa itu...Hati dah agak terbantut untuk bersuka ria....
Kami dapat bilik B1, bilik bawah. Mula-mula buka pintu dan melangkah masuk..memang mendukacitakan. Dengan lantai yang melekit, hanya beralaskan tikar getah. Dua katil besar dengan cadar kain murah yang kusam, tanpa selimut, tanpa air-cond, tanpa cerek, tanpa tv, tanpa tuala, hanya 2 ketul kecil sabun May disediakan. Dengan bayaran Rm100 semalam, memang memilukan dan tiada yang istimewa. Namun apakan daya kami tiada pilihan dan ia di luar jangkaan kami. Kami juga difahamkan elektrik hanya disediakan waktu malam memandangkan tempat tersebut menggunakan generator.




Selepas solat jamak Zuhur dan Asar, suami mencadangkan keluar ke Kuala Rompin untuk minum petang makan keropok lekor. Dalam perjalanan suami sempat beritahu bahawa rakan-rakan memaklumkan Pengurus Resort pesan agar berhati-hati kerana di kawasan tersebut banyak terdapat babi hutan. Dalam hati saya, tempat ini memang tidak sesuai untuk bercuti bersama keluarga, untuk camping dan kem motivasi mungkin sesuai. Tiba di Kuala Rompin, Hazim tertarik dengan replika kapal besar yang dijadikan kediaman, siap naik dan bergambar lagi...seterusnya kami minum di warung yang menjual pelbagai jenis juadah goreng, goreng pisang, goreng keropok lekor, ketam goreng dan macam-macam lagi. Kami hanya memesan pisang dan keropok lekor goreng. Air minuman biasa serta terasa hendak makan nasi sebab waktu tu hampir senja, kami makan nasi putih yang teramat sejuk bersama lauk yang tidak banyak pilihan. Suami agak terperanjat bila dikenakan harga RM26.00....dengan makanan yang tidak begitu berkualiti dari segi rasanya...memang ia mendukacitakan. Dalam perjalanan balik, waktu tu remang senja, kami dapat melihat sendiri 2 ekor babi hutan yang melintas jalan...tersentak juga saya dibuatnya..itulah pertama kali dalam hidup melihat babi hutan. Memang benarlah seperti yang diberi pesanan.
Malamnya, kami dimaklumkan barbique ikan terpaksa ditunda ke malam esoknya untuk sama-sama menunggu 2 buah keluarga lagi datang. Tanpa aktiviti, tanpa tv, kami hanya terperap di bilik, tambahan lagi mengingatkan babi hutan yang mungkin berkeliaran mematahkah lagi semangat untuk kami keluar dari bilik. Suami sempat menghabiskan tugasan marking paper pelajar, manakala saya seperti biasa melayan kerenah anak-anak. Tengah malam, sewaktu terjaga untuk membancuh susu anak, saya terpandang ulat gonggok di dinding berhampiran katil...alahai berdegup jugak jantung saya....
Pagi esoknya,18hb Ogos, Cikgu Azmi mencadangkan kami bersarapan di luar kawasan tersebut. Rupanya mereka juga terkena dengan harga yang mahal di warung Kuala Rompin semalam, selain menerima layanan yang kurang sopan mereka dihidangkan dengan air teh laici yang tiada dalam pesanan..pecah perut kami mendengar jenis air tersebut....Bagaimanalah rupanya...apatah lagi rasanya...Hampir 17km, barulah kami temui warung yang agak selesa untuk memuatkan kami 5 buah keluarga. Kebanyakan kami bersarapan nasi dagang yang dibungkus dengan daun pisang, seolah tapai. Rasanya..boleh tahan, seperti nasi dagang Terengganu, warna putih...selepas bersarapan kami meronda-ronda mencari surat khabar dan klinik swasta konon untuk beli ubat sumbat melalui bontot buat anak bongsu kami (setakat ini la...yang ke-4 coming soon), Haikal yang tidak kebah-kebah demamnya. Setelah dapat surat khabar, kami teruskan pencarian klinik. Puas mencari, kami bertanya, difahamkan ada sebuah klinik di Pekan Rompin..tetapi kami tidak temui, selain itu terdapat Klinik Kerajaan, kami buat keputusan untuk tidak ke Klinik Kerajaan kerana khuatir ramai pesakit dan terpaksa menunggu. Dalam hati kami, bagus la orang Rompin, jarang sakit agaknya, Klinik pun tiada. Tiba di resort, rakan-rakan ada yang bermain bola tampar bersama anak-anak, saya dan suami cuma bersantai di tepi pantai sambil menonton perlawanan dan suami membaca Sinar Harian, isu hangat pilihan raya Permatang Pauh dan isu liwat DSAI dan sumpah Saiful...

Untuk makan tengah hari, saya cadangkan suami beli dan bungkus sahaja memandangkan anak kecil demam dan tidur begitu juga anak kedua, Aimi pun lena tidur waktu tengah hari. Kebetulan rakan-rakan merancang untuk makan dan ronda di Mersing. Suami menyertai kunjungan ke Mersing dengan menumpang kereta Cikgu Azmi. Hazim tidak ketinggalan mengikut abahnya berjalan. Hampir pukul 5 petang, mereka masih belum kembali, masa tu dah berkeping roti saya makan, apa lagi saya terus mesej suami dan bertanya lambat lagikah. Suami memaklumkan baru berjumpa restoran dan baru pesan makanan. Oleh sebab memikirkan entah pukul berapa pulak mereka kembali, maka saya buat keputusan keluar cari makan. Sejauh lebih kurang 18km, berhampiran Pekan Rompin, saya terpandang gerai , nasib baik masakan Siam dan rasanya boleh tahan. Saya cuba bertanya mesin ATM terdekat dan Klinik Swasta. Rupanya klinik tu bersebelahan gerai tu saja, tapi labelnya pudar, patutlah waktu pagi semasa kami ronda tidak perasan kewujudannya....Mesin ATM Publik Bank pun berhampiran dengan warung makan semasa kami bersarapan pagi tadi.
Pada waktu petang, dua buah keluarga lagi tiba, Cikgu Ropi dan Cikgu baru yang masih bujang bersama ahli keluarganya. Sebelah petang, suami dan rakan-rakan sibuk menyiapkan ikan yang akan dibuat barbique pada malamnya. Selepas itu, suami bawa anak-anak mandi pantai. Suasana barbique malam tu dimeriahkan dengan anak-anak kami yang masih kecil termasuk anak Ustazah Faridah yang bongsu. Anak-anak orang lain semua dah besar. Saya tumpang makan dan tengok sahaja, almaklumlah anak kecil demam dan meragam ingin dukung sahaja. Pukul 12 malam lebih baru siap dibakar semua ikan, udang dan jagung, agak banyak dan tidak kehabisan.




Pagi esoknya, 19hb Ogos, kami sekeluarga keluar bersarapan di Kuala Rompin, makan nasi lemak. Sejurus selepas itu, ada permainan yang dinamakan telematch dikelolakan Pengurus Resort...Hazim beria nak menyertai..peserta terkecil...untuk fun dan enjoy sahaja..tanpa hadiah....memang seronok dan menghiburkan apatah lagi melihat keletah Hazim yang diam menurut perintah ahli pasukan...sehingga tahap membuka baju dan seluar ...untuk permainan pasukan yang paling panjang...lawak-lawak....Dalam hati saya..nasib baik ada permainan ni, terhibur la sikit hati dan menutup sedikit sebanyak cacat cela percutian kami kali ini....






Selepas permainan, kami menyambung dan panaskan kembali ikan-ikan semalam, makan dengan nasi yang tidak habis semalam, sayang nak buang. Selepas check-out, hampir 2 petang, selepas solat, kami bertolak balik. Dalam perjalanan, kereta Cikgu Ropi pancit...hampir setengah jam jugalah proses tukar tayar. Nak dijadikan cerita tayar simpananya tiada angin, nasib baik Ustazah Faridah pun kereta Toyota Unser juga, bolehlah pinjam. Singgah makan di gerai berhampiran stesen minyak, saya pun lupa nama tempatnya dan solat di Masjid berhampiran simpang ke Teratak Za’ba, pun lupa nama masjid tu. Tiba di rumah lebih kurang 11 malam...mak aii dalam hati..boleh tahan perjalanan hampir 9 jam..bagaikan balik kampung ni (Kelantan)...
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian pengalaman..tahun depan suami mencadangkan kepada Cikgu Azmi agar dibuat rombongan ke Taman Negara...harapan saya agar percutian seterusnya biarlah memuaskan dan menggembirakan serta bersesuaian dengan keluarga.....Apa pun tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan olehNya, tetap memikirkan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang berlaku...Alhamdulillah. ameen.

Thursday, April 10, 2008

Bukan Sekadar Simpati (3)

Alhamdulillah petang tadi berkesempatan menziarah sahabat (Shuk) di PPUM. Kebetulan juga ayah dan kakaknya ada bersama. Sebuah televisyen kecil menemani di sebelah katil.

Terharu dan bersimpati,namun empunya diri lebih terseksa jiwa dan raganya hanya Allah yang mengetahui. Mendengar dirinya bercerita serta menunjukkan gambar melalui telefon bimbit keputusan x-ray kedudukan sendi palsu yang terkeluar sebelum pembedahan ketiga, bukan sahaja mengerikan malah hati tidak putus berdoa agar Allah ampunkan dosa-dosaku serta dijauhkan dari ujian sebegini hebat.
Allah Maha Berkuasa, pada petang Jumaat lepas (tak silap saya), beliau terlintas untuk memaklumkan kepada Pegawai Perubatan (doktor) yang bertanggungjawab merawatnya agar melihat sendiri bagaimana seksanya beliau berjalan. Selepas menyaksikan sendiri kepayahan dan kesakitan beliau, doktor tersebut membuat keputusan mengadakan x-ray, masyaAllah, ternyata ada kesilapan berlaku, doktor tersebut memohon maaf dan memaklumkan akan mengadakan pembetulan pada sendi palsu tersebut. Beliau sempat memohon agar dibuat pembetulan tanpa sebarang pembedahan, doktor hanya mengatakan akan cuba buat yang terbaik. Maka pada 7 April 2008, beliau dimasukkan ke dewan pembedahan pada pukul 2.30 petang dan dibawa keluar pada pukul 6.30 petang. Pagi esoknya beliau terasa nyilu di tempat pembedahan yang sama, memang sahlah dibedah lagi apabila doktor yang merawat datang melawat pagi itu memaklumkan beliau perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu bagi memulihkan luka dan kedudukan sendi palsu tersebut. Apakan daya, beliau terpaksa menerimanya kerana hanya itulah yang termampu.

Antibiotik seperti biasa, masih lagi dimasukkan 4 botol sehari. Ditambah dengan suntikan sebanyak dua kali (tak silap saya), pagi dan malam, bagi melancarkan perjalanan darah oleh sebab tiada pergerakan kaki kanan, yang kini digantungkan batu bagi menghalang sendi palsu berubah kedudukan. Tidak lagi muntah setiap hari selepas menukar jenis ubat tahan sakit.


Kesayuan dan keseksaan ini diharap bertukar menjadi kesejahteraan dan kesyukuran dalam masa yang terdekat ini, InsyaAllah.


Kakinya terpaksa digantungkan batu bagi mengelakkan berlaku lagi perubahan kedudukan sendi palsu.

Harapan seorang ayah....mengharap dan mendoakan kesihatan anaknya tanpa rasa jemu...(ibunya telah meninggal dunia)

Semoga Allah s.w.t sentiasa memelihara imannya, memberinya sifat redha dalam menghadapi ujian ini. Juga sentiasa dilimpahi rahmat dan dimurahkan rezeki. Ameen.




Monday, April 7, 2008

Bukan Sekadar Simpati (2)

Semalam, terima 'sms' daripada sahabat yang terlantar di PPUM bahawa beliau akan dibedah lagi untuk kali ketiga. Sedih bercampur 'gembira', sedih sebab memikirkan seksanya dia melalui keadaan begini dan gembira sebab akhirnya doktor dapat mengesan punca kenapa dia tidak dapat atau sakit untuk berjalan selepas pembedahan kedua. Ini 'sms' beliau..begitu syahdu :

"A'kum.Doakan kesejahteraan & keselamatan saya. Pagi ini doktor akan betulkan sendi saya. Patutlah saya sukar & terasa sakit bila mahu berjln. Rupa2nya pd pembedahan ke2 berlaku sedikit kesilapan.Menyebabkan sendi palsu saya terkeluar.Harap kali ini semuanya selamat.Doakan saya yea.Terima kasih."

Di bawah ni gambar beliau beberapa hari selepas pembedahan kedua.Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.






Semoga Allah sentiasa memberi rahmat buatnya serta dipermudah segala urusan dan dipercepatkan sembuh seperti sediakala dan dimurahkan rezeki.Ameen.

Saturday, April 5, 2008

Meditasi Ketika Melahirkan Anak

Hari ni, saya tertarik dengan satu artikel dari blog kuasajiwa. Amat bermakna bagi seorang ibu seperti saya yang telah mengalami saat mahupun getir melahirkan anak. Anak pertama dan kedua secara normal, manakala anak ketiga secara pembedahan. Masing-masing punya kisah tersendiri. Sekarang, ingin sekali merasa nikmat mempunyai anak kembar. Ikutilah kisah yang saya 'copy' dari blog kuasajiwa, moga bermanfaat buat semua....
-------------------------
Kuasa Allah, saya dan isteri mendapat khabar gembira ketika membuat medical check-up di salah sebuah klinik. Imbasan yang dilakukan seperti tidak percaya ada dua degupan jantung. Ketika itu isteri saya hamil 3 bulan. Semacam tidak percaya kami dikurniakan anak kembar. Dalam hati ini tidak henti-henti berkata “Terima kasih Ya Allah”
Dalam meniti saat-saat kelahiran pastinya saya akan berkongsi khabar gembira ini dengan saudara mara dan teman terdekat.Pertamanya mereka terkejut kerana belum ada dalam sejarah keluarga saya yang melahirkan anak kembar.Keduanya ada juga terdengar dari mulut mereka akan pengalaman yang mereka dengar tentang proses kelahiran kembar. Kebanyakannya melahirkan melalui pembedahan. Tentunya dalam hati ini mahu mengelaknya. Sepanjang masa saya berdoa agar isteri dan kandungan anak sentiasa dalam keadaan sihat dan dipermudahkan bersalin.
Sepatutnya due kelahiran yang diberitahu pada 22 Dis 2007 namun saya memberitahu isteri agar bersedia awal kerana dalam hati kecil saya berkata antara 3 hingga 7 Dis 2007. Kebetulan pada 3 Dis 2007 isteri membuat check up dan sekali lagi hati kecil ini berkata inilah check up terakhir. Memang sahih. Isteri ditahan wad. Dalam kelam kabut tidak membawa apa-apa ketika itu, saya tetap tenang. Selepas selesai urusan, saya kembali ke pejabat.
Keesokan pagi isteri menelefon saya bahawa beliau sudah dibawa ke bilik bersalin. Sempat juga saya bergurau dengan isteri dengan berkata kali ini dia akan melahirkan waktu Zuhur. Dalam menunggu saat yang dinantikan, saya habiskan masa dengan berdoa dan bermeditasi. Saya pinta isteri juga berbuat begitu. Ditambah dengan pesan saya agar memanjangkan sujud di minggu-minggu terakhir waktu kehamilan dengan keyakinan dapat menstabilkan kedudukan kandungan.
Tepat pukul 1.14 petang isteri selamat melahirkan kembar pertama dan disusuli kembar kedua pada 1.23 petang dengan kelahiran secara normal. Alhamdulillah, Allah makbulkan permohonan kami. Semuanya dalam keadaan selamat. Pengalaman berharga mendapat anak kembar lebih bahagia dirasai apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah dekat dengan kita.
Firman Allah, “Apabila hamba-hambaku bertanya kepada-Ku tentang Aku (maka jawablah) bahawa Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu hendaklah mereka menyambut seruan-Ku dan beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat jalan yang banyak.” (Al-Baqarah: 186)
--------------------------------
Dapat saya bayangkan betapa indah dan nikmatnya mendapat anak kembar...ooppps kuota ada lagi kerrr?

Thursday, April 3, 2008

Bukan Sekadar Simpati

Hari ni rasa terpanggil untuk menulis entri pasal sahabat yang bekerja setempat. Disahkan sakit sendi sejak tahun 2004 dan kini terlantar di hospital selepas pembedahan kali kedua yang asalnya bertujuan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi). Orangnya muda lagi (30+) dan masih bujang. Ibunya sudah meninggal dunia dan kini tinggal bersama ayah yang agak uzur serta dua orang adik di Taman Dato' Harun, PJ.

Pada 12 Ogos 2004, beliau disahkan sakit sendi (Rheumatical Arthritis) oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kejadian ini berpunca daripada penyertaan beliau dalam acara pemilihan pemain bola sepak untuk mewakili organisasi yang diadakan pada tahun 2001. Pada mulanya beliau dirujuk ke Unit Ortopedik untuk tempoh dua tahun namun oleh kerana rawatan yang diterima tidak memberi sebarang perubahan, maka pada tahun ketiga beliau disarankan oleh Pegawai Perubatan berpindah ke Unit Reumatikalogi. Sejak disahkan sakit sendi, beliau perlu membuat rawatan sebanyak sekali sebulan, seterusnya pada pertengahan tahun 2006, beliau terpaksa berulang-alik ke klinik setiap hari untuk mencuci kaki yang luka akibat daripada masalah sendi ini.

Terkini, beliau terpaksa menjalani pembedahan menggantikan sendi yang rosak dengan sendi palsu (besi) pada 4 Februari 2008 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Syukur kerana pihak majikan bermurah hati menanggung kos pembedahan pertama sebanyak RM11,000.00. Walau bagaimanapun, tanpa diduga, pada 25 Februari 2008, beliau terpaksa dimasukkan kembali ke wad akibat jangkitan kuman serta menjalani pembedahan kali kedua pada 29 Februari 2008. Difahamkan bahawa pembedahan kali kedua ini hanya untuk mencuci luka. Walau bagaimanapun selepas pembedahan kedua keadaan kesihatan beliau semakin teruk. Sehingga tarikh entri ini ditulis, beliau masih lagi terlantar di hospital. Rawatan fisioterapi setiap hari untuk latihan berjalan tidak membantu untuk beliau berupaya berjalan, malah amat sakit dan menyeksakan. Kaki kirinya juga sudah tidak kuat untuk menampung kaki kanan yang sakit. Beliau diberikan suntikan antibiotik sebanyak 3-4 botol sehari sejak pembedahan kali kedua. Antibiotik ini dimasukkan melalui jarum yang diletakkan di bahu yang mampu bertahan selama enam (6) minggu. Selain itu juga beliau mengalami muntah dan kurang selera makan serta lemah badan.

Keadaan lebih menyedihkan apabila beliau menerima surat daripada majikan yang menyatakan penahanan gaji sementara pada 13 Mac 2008. Ternyata, sehingga tarikh entri ini ditulis beliau masih belum menerima gaji untuk bulan Mac 2008 walaupun rayuan telah dibuat pada 21 Mac 2008. Penahanan gaji sementara itu dibuat berdasarkan perjanjian perkhidmatan kontrak yang mana cuti sakit telah melebihi kelayakan, iaitu 15 hari. Apapun tidak boleh disalahkan pihak majikan, kerana sebagai badan kerajaan sudah tentu terikat dengan beberapa prosedur.

Kini beliau merasa amat terbeban dengan keadaan kesihatan ditambah dengan masalah kewangan yang melanda. Usahkan beliau yang terlantar sakit, kita yang sihat ini pun pening jika dilanda masalah kewangan.

Semoga Allah s.w.t sentiasa memberi petunjuk dan memudahkan segala urusan dan menyembuhkan beliau dalam masa terdekat.Kesabaran yang diperlukan semasa menghadapi kesakitan bukan sedikit. Moga Allah sentiasa titipkan rasa sabar dan redha dalam hatinya. Untuk ingatan diri saya juga, mudah-mudahan talian ini membantu insan yang prihatin untuk memberi sebarang bentuk sokongan, baik moral mahupun kewangan: Mohd Shukri Jaffar- 012-9264925, disertakan juga nombor akaun BSN 10101-29-8102-4539-0 dan BIMB 14023020211393. Hanya Allah jua Yang Maha Berkuasa, Yang berupaya menyembuhkan.Bukan sekadar simpati..tetapi menginsafi diri...

Tuesday, March 18, 2008

Astaka Minda - Penulis dan Blog: Trend Masa Kini

Astaka Minda merupakan Siri aktiviti Gerakan Membaca anjuran Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Program Gerakan Membaca melalui program Majlis Bicara Karya mula diadakan sejak 1998. Acara tersebut telah berjaya memperkenalkan tokoh dan penerbitan tempatan yang signifikan dalam pembinaan negara bangsa Malaysia dan tamadun masa kini kepada masyarakat umum. Mulai tahun 2008, majlis tersebut telah diubahsuai dan dinamakan Astaka Minda yang bertujuan;
  • Membina suasana dan persekitaran ke arah menggalakkan minat membaca dan mencintai ilmu.
  • Membina ketajaman minda melalui diskusi secara segar dan berketerampilan.
  • Memberi impak kepada perubahan semasa ke arah mencorakkan masyarakat berilmu.
  • Mencakupi apresiasi pelbagai bidang ilmu melalui media elektronik.


PERCUMA!!

Semua dijemput hadir:

"Penulis dan Blog: Trend Masa Kini"
Pengerusi:
Shamsudin Othman
Pensyarah UPM
Panel:

22 Mac 2008(Sabtu) 9.00 pagi

Dewan Seminar, Aras 2,
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur

Hubungi :Encik Nik Aman Nik Yusoff (03-21481045)/
Encik Hiezam Hashim (03-21483540)

Sunday, March 16, 2008

Hari Pertama Hazim Ke Sekolah



Jumaat, 14 Mac 2008 merupakan hari pertama Hazim (anak sulung) ke sekolah tadika. Sengaja dilewatkan sedikit kemasukannya ke sekolah, bagi peluang dia main puas-puas dengan adik-adiknya serta menonton siaran kartun kegemarannya di saluran Astro 613. Sekolah Tadika Sri Kenari, di Taman Maluri, kaedah Montessori, diajar juga bahasa Mandarin, Arab di samping Inggeris. Pengajaran quran Iqra' pun tidak ketinggalan.Harapan mama agar Hazim dapat berdikari, walaupun baru berumur 4 tahun, namun pada era mencabar ni mama nak Hazim tidak ketinggalan dalam aspek pelajaran, pergaulan mahupun aspek yang paling penting, iaitu agama.

Waktu pagi, terpaksa pujuknya dengan mandi air panas, kalau tidak mahu bengkak mata menangis enggan mandi.Ye lah, biasa bangun dan mandi sekitar 9 pagi, tup-tup 6 pagi dah dikejutkan mahunya tak mengamuk. Nasib baik malamnya dah dipujuk-pujuk, tunjukkan begnya yg diisi baju, tuala, syampu dan berus gigi. Pagi tu bila tunjuk je beg sekolah selepas mandi, mukanya tersenyum dan nampak bersemangat nak ke sekolah. Dalam kereta pun senyum saja, sampai di sekolah, kebetulan cikgunya dah siap berdiri depan pintu menyambutnya, tanpa sebarang masalah, dia senang je masuk dan melambai tangan. Senang hati mamanya.

Petang, sekitar 5 petang mama jemput Hazim, dah siap mandi, rambut pun masih basah. Sama seperti waktu paginya, senyum je, cikgu melaporkan, Hazim tiada masalah, cuma 'sukar' nak dengar 'suara'..alahai sejak bila pulak anak teruna mama ni jadi pemalu dan pendiam..Apa pun syukurlah sebab Allah beri Hazim kemudahan untuk sama-sama menimba ilmu di sekolah yang mama fikir pilihan terbaik dariNya.InsyaAllah.

Tuesday, February 26, 2008

24.2.2008 CashFlow 101 di UIAM

Alhamdulillah…syukur..tercapai gak cita2 nak main bendaalah ni setelah hampir 4 tahun tertanya2. ..(tahu melalui forum BJ)..ingatkan permainan ‘orang kaya2 je’..heee.Mulanya berdebar sangat almaklumlah mak budak ni dahle peserta wanita tunggal..pastu digandingkan pulak dengan student yg fresh dan power2…mcm kancil ngan merce pulok…mmg slow je la utk first round...dah le kerja Mechanic jer..gaji ala kadar...jenuh tekan minyak tapi tak laju2 juga..tak keluar pun rat race tuh…tapi 2nd round.. beranikan diri dan buat2 pandai gak..haaaa..walau pun bole pilih kerja, still pilih Secretary je, bukan apa, nak cuba selarikan dengan keadaan realiti...kemudian kali ni ubah strategi….dan Alhamdulillah boleh keluar dari rat race dan org pertama bole capai impian (dgn lain perkataan menang ler yer..heee).Spt yg diberitahu hari tu game ni ambilkira nasib jugak di samping strategi. Bagus apa yg dipesan Pakdi...dlm realiti pun kita bergantung pd nasib, tapi kita kenalah usaha dulu, bila gagal juga kenalah terima hakikat tu nasib, jgn lak pandai2 nyalahkan org lain atas kegagalan kita….Moga azree teruskan niat murni aturkan program2 menarik demi membuka mata dan minda anak2 Melayu khasnya.InsyaAllah. Di bawah ni gambar yang dipetik dari blog azree.Bole baca report kat situ gak. Kesian mak budak tu...



Saturday, February 23, 2008

Law of Attraction (LOA)

Mungkin ada yang tahu dan tidak kurang juga yang memang belum pernah dengar dengan istilah ni. Saya pun baru nak berjinak2 belajar. Kat sini ada beberapa artikel yang diambil dari blog individu untuk dikongsi bersama.

"Buat pengetahuan semua, baik ia hukum alam apa pun atau sekerap manapun “law of attraction” dibicarakan di dalam buku the secret mahupun di dalam videonya…atau pelbagai lagi perlambangan yang cuba dikaitkan sebagai hukum tersebut, SEBENARnya sangat kurang kita dan mereka yang diluar sana membicarakan atau kurang sedar yang mereka sedang membicarakan satu hukum sains fizik atau ilmu bio energi yang sama juga seperti mana juga hukum alam seperti hukum grafiti yang dijumpai oleh si bijak pandai Albert Einstein.
Dalam sains fizik “quantum”, telah menjelaskan betapa dunia yang kita harungi ini adalan satu manisfestasi lautan energi. Dan namanya “law of attraction” aka LOA ini HANYALAH sekadar nama yang menunjukkan satu sains energi. Tidak lebih dan tidak kurang. Tak perlu kita persusahkan dengan pelbagai istilah kerana di barat mereka menggunakan istilah ini untuk tujuan komersial walaupun hukum alam ini sebenarnya telah disebut2 dan diajar oleh Nabi Besar kita Nabi Muhammad SAW itu sendiri" http://amarmahmood.com/

23.2.2008 Terapi Fizikal dan Minda

Alhamdulillah, syukur sangat sebab hari ni tercapai hasrat nak gi spa (yang bertaraf 3 bintang je laa..) mulanya ingat nak facial dan hair treatment je tapi bila sampai salon, ada ofer baik punya, apalagi setuju je la.
Mula pukul 10.30 pagi, selesai lebih kurang 3.30 petang..mak aiii..masak tuh..dah le pagi2 lupa nak breakfast..sampai sana, terus sauna, lebih kurang 15 minit..fuhhh berpeluh satu badan..ni kali kedua buat sauna..(kali pertama masa lepas pantang).Kemudian, buat body scrub,body mask, mandi susu dan last facial..sebelum facial, masa tuh dah pukul 1.50 petang..diberi minum milo panas dan biskut tawar 3 keping..heeee...terpaksa batalkan hair treatment sebab dah lewat..sebenarnya nak gi kenduri kawan...apapun...memang puas hati spa ni...kalau boleh tiap2 minggu nak gi..heee..terapi fizikal dan minda tuh..bestt
Kenduri kahwin kawan...pergi gak..walaupun dah lewat..pukul 4.15 petang sampai...makanan masih ada lagi..apaa lagi...alhamdulillah perut dah le lapar..
Esok? ke Uia..nak belajar main Cashflow ...biar sedar diri dan celik kewangan sikit..heee.Moga dipermudahkan segala urusan olehNya.ameen.

Sunday, February 17, 2008

Minggu Yang Sibuk

Lebih seminggu baru berkesempatan menulis blog ni. Pelbagai perkara perlu difikir dan dipelajari pada waktu yang sama.Malah yang lebih berat beberapa keputusan besar perlu dibuat sekitar dua bulan terdekat ini termasuklah 'mengundi'.

13 Februari 2008, Rabu lalu, menyaksikan degupan jantung yang kencang bila mana projek pertama di bahagian yang baru dipersembahkan kepada VIP dan para staf anggaran lebih 500 orang.Namun Alhamdulillah dengan pertolonganNya jua segalanya berjalan lancar.Walaupun ia tidak memenuhi stardard kerja yang diidamkan namun memadai jika diambilkira beberapa kekangan besar pada saat projek tersebut dibangunkan.Sesungguhnya tiada yang lebih berkuasa melainkan Dia!

9 Februari 2008, Sabtu lepas, sempat lagi berkunjung ke majlis perkahwinan staf di Batu Pahat, Johor.Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima jam.Dengan ditemani baby, Haikal serta rakan-rakan sepejabat perjalanan menjadi indah dan meriah apatah lagi kenderaan yang ditempah (bas) banyak ruang kosong memandangkan ramai yang tidak dapat hadir maklumlah bercuti di kampung masing-masing sempena cuti Tahun Baru Cina. Sebelum balik, singgah di Ayer Hitam, seronok sakan.

Alhamdulillah syukur Allah beri peluang untuk mengecap rezeki dan nikmat.oppss perlu berhenti..anak2 meragam.heee

Friday, February 8, 2008

8.2.2008 Jumaat Yang Indah

Jumaat yang indah bagi saya kerana hari bertuah ini dengan IzinNya saya dapat hasilkan blog sendiri walaupun percuma. Semoga blog ini sedikit sebanyak memberi manfaat buat pelawat-pelawat yang datang. Keinginan buat blog ni bukan datang sehari dua. Ianya hasrat terpendam hampir sepuluh tahun yang lalu. Waktu tu, istilah blog belum popular, yang ada hanya web biasa, pernah juga wujudkan laman peribadi guna Ms Frontpage tapi lupa pula apa alamatnya.
Diri terasa syukur ke hadratNya. Sememangnya tanpa izin dari Yang Maha Esa, tiadalah blog ini, walaupun ringkas dan pengisiannya ringan, namun harapan agar ianya tetap berguna untuk percambahan minda, peningkatan ilmu serta perkongsian pelbagai rasa dan emosi sekaligus bersesuaian dengan arus teknologi maklumat yang menuntut kepakaran internet.
Di samping berkongsi rasa, juga diharap ikatan persahabatan dapat terjalin dan hasrat menapak di bidang e-bisnes menjadi kenyataan suatu masa nanti.